Assalamua'alaikum, salam sejahtera dan salam 1 UiTM tercinta.
Kami di pihak MPP UiTM Perlis sebenarnya telah dan sedang berusaha untuk meminta penjelasan dari pihak pengurusan. Hasilnya, di sini kami ingin memaklumkan kepada warga UiTM Perlis sekalian bahawa isu ini adalah berkaitan dengan penutupan serta merta kedai runcit caka yang terdahulu. Penutupan kedai runcit caka sebenarnya adalah hasil aduan dan ketidakpuasan pelajar-pelajar sekalian secara terus di Facebook Dato’ Naib Canselor terhadap servis dan harga barangan yang terdapat di premis berkenaan.
Arahan penutupan dan penamatan premis Caka itu adalah sebenarnya arahan secara terus daripada beliau. Tahniah atas keprihatinan pelajar sekalian, akhirnya permasalahan dan isu kedai runcit ini berjaya diatasi. Namun masalah lain pula yang timbul. Berikutan penutupan mengejut itu, pihak pengurusan menghadapi kesukaran untuk mencari pengganti untuk menjadi pemilik kedai runcit tersebut. Proses penukaran dan pencarian pemilik baru kedai runcit di anjung siswa sebenarnya perlu menjalani beberapa prosedur yang penting (yang mana pastinya tidak dan sukar untuk dikerjakan dalam masa yang singkat). Dan prosedur yang ada juga memerlukan pihak pengurusan meneliti setiap tender yang diterima, agar pemilik yang sesuai diperolehi dan permasalahan yang sama tidak berulang.
Untuk pengetahuan pelajar sekalian, kontrak perniagaan premis runcit caka sepatutnya tamat pada tahun hadapan. Jikalau kontrak tersebut tamat pada masa yang sepatutnya, iaitu tahun hadapan, maka tidaklah berlaku kekosongan di premis tersebut seperti yang berlaku sekarang ini. Jadi, sehingga penggantinya ditemui, kami di pihak MPP UiTM Perlis dimaklumkan oleh pihak pengurusan bahawa penggantian dan kemasukan tender baru bagi premis runcit akan memakan masa (cepat atau lambat, mohon kesabaran dari pihak anda). Kami di MPP juga sebenarnya telah dikecam oleh pihak-pihak tertentu ekoran isu ini. Pertamanya ketika caka belum ditutup dan sekarang apabila caka ditutup dengan mengejut (tanpa pengganti). Walaupun semua urusan tersebut di luar bidang kuasa kami, namun atas tanggungjawab dan kewajipan, maka semuanya telah diberi perhatian dan kami telah pun mengetengahkan isu kedai runcit ini kepada pihak pengurusan.
Diharap dengan penerangan ini, para pelajar sekalian dapat memahami situasi yang sebenarnya melanda kampus tercinta ini. Setiap yang ingin diganti sebenarnya memerlukan masa,tenaga dan kos yang tinggi juga. Kita bukanlah universiti yang mampu mewujudkan sesuatu dengan mudah. Kami di pihak MPP sekali lagi memohon maaf atas kelewatan kami memberikan penerangan kepada anda dan seikhlasnya, kami ucapakan tahniah atas bantuan yang anda berikan dalam usaha kami membawa isu ini ke pihak atasan dahulu. Sekian, terima kasih.
Yang benar dan ikhlas,
Naib Yang DiPertua,
Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Perlis
Sesi 2011/2012
~Kebersamaan Dalam Merealisasikan Idealisme Mahasiswa~
No comments:
Post a Comment